KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Perlis menyokong supaya pemilihan parti yang akan datang membuka ruang kepada semua jawatan termasuklah presiden dan timbalan presiden.
Menerusi kenyataan media, Pemuda UMNO Perlis berkata, keterbukaan dalam mempertandingkan semua jawatan akan menjadi salah satu cara untuk menilai sokongan daripada ahli akar umbi kepada pemimpin.
“Dalam sistem demokrasi, tahap sokongan perlu diukur dan pemimpin-pemimpin politik perlu bersedia dengan realiti bahawa kepimpinan mereka akan dinilai selepas suatu tempoh masa.
“Tanpa pertandingan, bagaimana boleh diukur tahap sokongan terhadap kepimpinan yang sedia ada?,” kata kenyataan tersebut.
Namun jika kepimpinan bertegas untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi UMNO, ia juga perlu dilaksanakan kepada semua peringkat.
“Justeru, Pemuda UMNO Perlis berpendapat, kalau tak mahu ada pertandingan, biarlah dari atas sampai ke bawah jangan ada pertandingan.
“Biar semua pemimpin yang ada terbuai-buai dengan anggapan sendiri bahawa mereka mendapat sokongan yang kuat dari akar umbi,” menurut kenyataan tersebut.
Pemuda UMNO Perlis dalam masa yang sama juga menegaskan kegagalan UMNO meraih undi golongan muda adalah jumlah calon-calon dari kumpulan itu masih kurang.
Sehubungan itu tidak wajar untuk menyalahkan Pemuda UMNO yang gagal memainkan peranan pada pilihan raya baru-baru ini.
“Daripada keseluruhan jumlah kerusi tersebut (798 kerusi), tidak sampai 3 peratus diperuntukan untuk calon-calon Pemuda.
“Bila membicarakan soal undi dan sokongan, tiba-tiba Pemuda dipersalahkan dan ditonjolkan, seolah-olah UMNO sangat bergantung harap dengan undi golongan muda.
“Kadar peratusan calon muda yang terlalu kecil itu tidak menggambarkan keperluan membina sokongan daripada kelompok pengundi muda,” tambahnya. – MalaysiaGazette