Home Nasional Pasukan Khas siasatan 1MDB bersidang esok

Pasukan Khas siasatan 1MDB bersidang esok

Bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hadir di Menara Ilham Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Beberapa individu yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan tindakan lanjut kes itu.

Antara yang hadir adalah Bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang tiba jam 1.50 petang diikuti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik, Datuk Seri Shukri Abdull yang tiba beberapa minit selepas Gani.

Pasukan khas itu akan diketuai Gani, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Hamid Bador.

“Kami akan bersidang esok bagi membincangkan prosedur siasatan,” kata Abu Kassim ringkas kepada wartawan di Menara Ilham.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk untuk membentuk satu Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

“Keanggotaan Pasukan ini akan terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

“Pasukan Khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

“Pasukan Khas ini juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan,”  kata Mahathir.

Tambah Mahathir, kerajaan berharap penubuhan pasukan khas itu dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat akan berupaya mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB. -MalaysiaGazette