Home Dunia Penyiasat MH17 terbit laporan interim baharu Khamis ini

Penyiasat MH17 terbit laporan interim baharu Khamis ini

Lokasi kejadian trajedi MH17 trajedi di Ukraine ketika tinjauan di Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Lokasi kejadian trajedi MH17 trajedi di Ukraine ketika tinjauan di Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

AMSTERDAM – Pasukan siasatan kemalangan pesawat MH17 yang jatuh ditembak pada 2014 akan menerbitkan laporan interim pada Khamis ini dan meminta bantuan awam untuk menjejak dalang insiden tersebut, menurut rangkaian penyiaran NOS.

Bagaimanapun, laporan interim itu tidak akan membuat dakwaan baharu mengenai suspek atau memberi maklumat baharu mengenai keputusan yang telah dikeluarkan sebelum ini, kata NOS.

Kesemua 298 penumpang pesawat MH17 terbunuh apabila pesawat tersebut terkena peluru berpandu dan terhempas di ladang di timur Ukraine pada 17 Julai 2014. Dua pertiga daripada penumpang pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur adalah warga Belanda.

Pada 2016 siasatan awal Pasukan Siasatan Antarabangsa (JIT) membuat rumusan bahawa pesawat tersebut telah ditembak oleh peluru berpandu BUK dari sebuah ladang di Ukraine yang dikuasai puak pemisah Rusia.

Kesimpulan tersebut dipertikaikan oleh Rusia yang mendakwa pesawat pejuang Ukraine bertanggungjawab ke atas insiden tersebut.

Kes tersebut akan dibawa ke mahkamah Belanda selepas Rusia menghalang percubaan untuk membawanya ke tribunal Pertubuhan Bansa-bangsa Bersatu.

Pada akhir Oktober, ketua pasukan penyiasatan, Fred Westerbeke berkata, pendakwa raya Belanda mungkin telah bersedia untuk memulakan perbicaraan terhadap mereka yang didakwa menembak jatuh pesawat Boeing, B777-200 milik Malaysian Airlines itu dalam masa beberapa bulan lagi.

Westerbeke memberitahu Novaja Gazeta bahawa beberapa suspek dikenalpasti tetapi undang-undang Belanda melarang beliau menamakan mereka.

“Kami akan mendedahkan semuanya apabila penyiasatan ini telah berakhir dan akan memberi nama-nama mereka pada perbicaraan itu,” katanya. – Agensi