SIRI 1
KETIKA sahabat-sahabat saya dari pelbagai latar media berlumba-lumba membuat analisis mengenai keputusan PRU-14 pada malam 9 Mei lalu, saya seorang, mengambil sikap berdiam diri.
Saya tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat sebarang kesimpulan berhubung keputusan itu kerana bimbang laporan yang tidak tepat boleh mengundang ketidakyakinan orang ramai kepada kita.
Saya mengambil sikap berhat-hati, biar lambat asal selamat kerana saya menyedari keadaan politik pada malam itu tersangat pelik. Celaru dan mengelirukan.
Kenapa tidak celaru? Pada jam 9 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan si polan menang, kemudian pada jam 12 malam, SPR mengumumkan si polan yang tadi menang, tiba-tiba kalah.
Bukan seorang dua berlaku begitu, ramai yang menerima keputusan berbolak balik, sekejap kalah, kemudian menang. Sekejap menang, kemudian kalah.
Saya jadi keliru kerana catatan awal saya pada buku nota tidak boleh digunapakai lagi kerana keputusannya tidak betul, sentiasa ada pembaharuan dan keputusan tergantung… hilang begitu sahaja tanpa ada info terbaharu.
Fikiran saya bertambah celaru pada masa itu apabila jam menunjukkan sudah pukul 2.30 pagi, tapi keputusan rasmi parti mana menang belum diumumkan. SPR pula berulang kali meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana ‘kelewatan’ itu.
Bayangkan, di tempat pengiraan undi itu, yang kita boleh tengok dengan jelas melalui siaran langsung… jam 3 pagi masih kedengaran suara pegawai-pegawai SPR mengira undi. Tidakkah ini pelik?
Televisyen pula berkali-kali menunjukkan kumpulan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad berkumpul di sebuah hotel di Petaling Jaya untuk meraikan ‘kemenangan’, sedangkan keputusan rasmi belum diumumkan.
Televisyen juga menunjukkan kumpulan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), seolah-olah untuk meraikan ‘kemenangan’, walaupun SPR ketika itu masih sibuk ‘mengira’ undi.
Lebih kurang jam 3.30 pagi, televisyen menyiarkan sidang media Tun Dr Mahathir yang mengumumkan Pakatan Harapan menang dengan majoriti mudah. Selang beberapa minit kemudian, Najib pula bersiaran langsung mengatakan tidak ada parti yang mendapat atau menang dengan majoriti mudah. Lagi mengelirukan.
Para penyokong Pakatan Harapan sudah berarak dengan kereta dan motosikal masing-masing. Mereka, yang kebanyakannya anak-anak muda memenuhi setiap jalan di ibu kota dan bandar-bandar di negeri seluruh negara dengan mengibarkan bendera parti PKR.
Di luar pejabat saya di Lake Fields Sungai Besi, Kuala Lumpur juga bingit dengan enjin motosikal dan hon. Mereka bersorak kegembiraan meraikan kemenangan. Tetapi, pada masa sama, disiaran langsung televisyen masih menunjukkan pegawai-pegawai SPR masih lagi sedang mengira undi.
Saya sedih melihat keadaan yang berlaku kepada SPR. Saya mulanya tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah seorang rakan media memberitahu saya, “Zaidi, tidakkah anda rasa pelik, jam hampir 4 pagi belum ada keputusan rasmi dari SPR?
“Ini menunjukkan ada sesuatu yang cuba dirancang pihak tertentu untuk menafikan kemenangan rasmi Pakatan Harapan,” katanya.
Saya tidak ambil masa lama untuk mendapat jawapan daripada kata-kata rakan media itu. Secara logiknya, dalam keadaan serba canggih dan pembaharuan demi pembaharuan dilakukan SPR sepanjang masa, memang logik ada sesuatu yang cuba disembunyikan pihak tertentu.
Akhirnya, saya memutuskan untuk mengguna pakai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan partinya menang dengan majoriti mudah. Cuma jumlah keseluruhan kerusi dimenangi Pakatan Harapan belum diketahui secara tepat.
Saya cuba menenangkan diri sendiri dengan mengatakan, “Tak apalah… esok dapat tahulah keputusan rasminya.”
Ketika itu jam sudah pukul 4.50 pagi. Dalam sedar tidak sedar, saya sebenarnya sudah berada pada hari ‘esok’ ketika itu. Cuma satu setengah jam sahaja lagi fajar pagi bakal bangkit untuk menerangi bumi Malaysia.
PRU-14 adalah pilihan raya umum yang paling bersejarah dalam hidup sesiapa yang berusia 60 tahun ke atas. Mereka dapat melihat bagaimana BN bangun dan mereka dapat melihat bagaimana BN jatuh.
BN bangun tahun 1959 dan kekal memerintah selama 59 tahun, sebelum dijatuhkan dengan mudah oleh Pakatan Harapan pada bulan 5 (Mei) pada 9 hari bulan.
Tentu ia berita yang menyedihkan bagi seluruh rakyat Malaysia. Mereka sudah biasa menjalani kehidupan, melihat pembangunan dan menikmati hasil mashyur bawah pentadbiran kerajaan BN tiba-tiba telah kehilangannya dalam sekelip mata.
Saya tidak mahu menuding jari pada siapa-siapa atas kekalahan ini, apatah lagi untuk menuduh siapa yang bersalah dalam hal ini. Cukuplah kita bertepuk dada dan bertanyakan kepada selera masing-masing. – MalaysiaGazette