KUALA LUMPUR – Benarkah kira-kira 1,000 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Terengganu yang dilantik Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tidak lagi akan menerima bayaran elaun mereka untuk bulan ini?
Jika benar, malanglah nasib mereka, tidak dapat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba kira-kira tiga minggu lagi dari sekarang.
Menurut sumber, kerajaan Pas Terengganu yang baru dua minggu mengambil alih pentadbiran negeri itu, telah mengeluarkan pekeliling penangguhan bayaran elaun kepada Ahli J3K bagi bulan Mei.
Kandungan pekeliling itu memaklumkan, pentadbiran kerajaan negeri (Terengganu) bersetuju menangguhkan bayaran elaun Ahli J3K yang melibatkan pembayaran oleh kerajaan negeri bagi bulan Mei 2018.
Pekeliling bertarikh 20 Mei itu ditandatangani Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan), Shukriyati Saad dan salinannya turut dihantar kepada lapan Pegawai Daerah di seluruh Terengganu.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan daripada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengenai kesahihan pekeliling itu.
MalaysiaGazette difahamkan, kos pengurusan dan pentadbiran Ahli J3K sebelum ini dibiayai secara bersama antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Secara dasarnya, setiap Ahli J3K akan menerima peruntukan sebanyak RM39,250 untuk kos pengurusan mereka sepanjang tahun.
Dari jumlah itu, RM22,200 dibiayai kementerian berkenaan, manakala RM17,050 lagi dibiayai kerajaan negeri Terengganu.
Berikutan pertukaran pentadbiran daripada BN kepada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua minggu lalu, setiap organisasi politik di bawah kerajaan BN cuba dimansuhkan oleh kerajaan baharu. – MalaysiaGazette