Home Nasional Kutipan tol secara elektronik di semua plaza PLUS mulai April

Kutipan tol secara elektronik di semua plaza PLUS mulai April

BAGAN SERAI – Transaksi tol di semua plaza tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan dikendalikan 100 peratus secara elektronik mulai 26 April ini, kata Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail.

Beliau berkata pelaksanaan itu turut melibatkan semua transaksi tol di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Katanya dengan pelaksanaan itu, semua 94 plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor kini dikendalikan secara elektronik.

“Bermula 12 tengah hari pada tarikh tersebut tiada lagi transaksi secara tunai akan dikendalikan dan pengguna PLUS perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG,” katanya.

Azman bercakap kepada pemberita pada majlis taklimat mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) di sini Jumaat.

Inisiatif ETC dilaksanakan secara berperingkat sejak 2008 bermula dengan di Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

Azman berkata pelaksanaan ETC dapat mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan transaksi di lorong pembayaran khususnya ketika musim perayaan.

Beliau menarik perhatian apabila berkata pelaksanaan ETC tidak akan melibatkan pengurangan kakitangan PLUS, sebaliknya petugas di plaza tol sebelum ini diberi latihan semula di samping dihantar ke bahagian lain.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pelaksanaan ETC sejajar dengan kehendak kerajaan untuk mengurangkan tahap tekanan rakyat dan pencemaran udara di negara ini.

“Apabila tidak perlu beratur panjang untuk membuat pembayaran pengguna tidak akan merasa tertekan dan ia juga boleh kurangkan pencemaran udara dengan keluarkan asap yang banyak,” katanya.

— BERNAMA