Home Ekonomi Bursa Malaysia jatuh 40 mata

Bursa Malaysia jatuh 40 mata

Bursa Malaysia
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pendedahan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengatakan Malaysia menanggung hutang hampir RM1 trilion menyebabkan pasaran saham hari ini jatuh melebihi dua peratus.

Ketika mengakhiri dagangan jam 5 petang tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI merekodkan kerugian sebanyak 40.78 mata atau 2.21 peratus kepada 1804.25 mata. Malah indeks turut dibuka lemah 1.63 mata kepada 1,843.40 pagi tadi.

“Prestasi buruk Bursa Malaysia itu didorong oleh sentimen tidak baik terhadap hutang negara yang tinggi seperti mana kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” kata JF Apex Securities.

Sejumlah 2.69 bilion saham bernilai RM3.342 bilion bertukar tangan berbanding 2.358 bilion saham bernilai RM2.741 bilion ketika ditutup semalam.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 763 berbanding 237.

Pasaran didagangkan dalam jajaran 39.15 mata di antara 1843.40 dan 1804.25.-MalaysiaGazette