KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM7 bilion sekiranya syarikat itu masih mempunyai RM9.8 bilion yang telah dilaburkannya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan membayar RM954 juta menjelang akhir tahun ini dan terlebih dahulu perlu menjelaskan RM145 juta pada 30 Mei ini.
“Sejak 1 Januari lalu tahun ini, syarikat 1MDB hanya mempunyai seorang pekerja sahaja iaitu Arul Kanda Kandasamy (Ketua Pegawai Eksekutif-CEO).
“Terkilan sebuah syarikat yang meminjam wang begitu besar, hanya beroperasi dengan satu pekerja iaitu CEO dan dia pula sedang bercuti (garden leave) (Dia diarahkan tidak lagi bekerja tetapi masih lagi membayar gaji).
“Saya dapati sangat sukar untuk mempercayainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kementerian Kewangan hari ini.
Sementara itu, Guan Eng berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil semula 1MDB sebagai pemegang saham dan mengarahkan pegawai atasan Kementerian Kewangan mengambil alih operasi syarikat itu.
“Kami berharap semua dokumen berkaitan 1MDB yang ada di syarikat itu masih selamat tanpa diusik.
“Terdapat petanda bahawa mereka sedang melepaskan segala dokumen kepada kementerian termasuk surat-surat yang pernah dikeluarkan bekas menteri yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette