KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu hari ini menafikan dakwaan kononnya pihaknya terlibat membantah cadangan projek pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian itu, Ghulam Muzaffar Gulam Mustakim berkata, maklumat pada risalah yang diedarkan kepada orang ramai mendakwa UMNO membantah cadangan itu merupakan satu fitnah.
“Ingin saya tegaskan bahawa kami tidak bersekongkol dengan pihak-pihak yang membantah cadangan projek itu dan ia sebenarnya dilakukan oleh mereka yang berkepentingan.
“Kami menyokong usaha kerajaan melaksanakan projek ini kerana ia berkait rapat dengan hukum halal dan haram penyembelihan ayam yang dipasarkan kepada seluruh umat Islam di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media bersama beberapa badan bukan kerajaan lain di sini.
Menurut Ghulam Muzaffar, UMNO Bahagian Batu menyokong usaha menaik taraf pasar Borong Selayang ekoran keadaannya yang sudah usang serta berusia lebih 30 tahun dan perlu penambahbaikan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak ada segelintir orang UMNO yang berpihak kepada mereka yang berkepentingan terbabit dengan membantah sama projek itu untuk dilaksanakan.
“Saya juga difahamkan terdapat nama-nama NGO lain yang turut disenaraikan dalam risalah berkenaan dan mereka juga memaklumkan tidak tahu menahu tentang perkara itu.
“Justeru, saya meminta pihak-pihak yang berbuat demikian agar segera menghentikan perbuatan itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ghulam Muzaffar berkata, pihaknya tidak membuat laporan polis terhadap pihak-pihak terbabit bagi mengelak masalah itu semakin kronik memandangkan projek tersebut merupakan satu agenda nasional.-MalaysiaGazette