ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap agar isu pemilihan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu diangkat kepada pengetahuan Sultan Kedah untuk mendapatkan perkenan.
Beliau berkata sekiranya wakil rakyat pembangkang mengutamakan kepentingan negeri, mereka sepatutnya memudahkan urusan pelantikan speaker dengan menyokong calon yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) kelak bagi memastikan semua kerja pentadbiran dapat berjalan segera.
“Sebolehnya cuba selesaikan urusan ini di peringkat kita (kalangan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri), saya harap tak perlu perkara seperti ini diangkat sampai perlu dapat perkenan Sultan (Sultan Kedah).
“Saya harap mereka (pembangkang) akan bantu kita dalam soal pemilihan Speaker, respons saya terima dari rakyat tidak ada siapa berminat untuk kita alami satu pilihan raya negeri, sehubungan itu saya akan berbincang dengan PAS bagi menyelesaikan isu ini,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat pada Bicara Integriti di sini hari ini.
Sebelum ini Mukhriz meminta pembangkang merestui calon speaker DUN yang akan dikemukakan PH nanti bagi membolehkan segala kerja pentadbiran berjalan lancar, sekali gus mengelak daripada diadakan pilihan raya negeri.- BERNAMA