Home Politik Sila tunai janji 30 peratus menteri wanita

Sila tunai janji 30 peratus menteri wanita

Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR – Parti Komponen Barisan Nasional (BN), MCA mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji mereka memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita sebagai menteri dan jawatan pembuat dasar.

Ketua Wanitanya, Datuk Heng Seai Kie berkata, PH sebelum ini menabur janji untuk mewujudkan lebih ramai pemimpin wanita sebagaimana yang termaktub dalam Buku Harapan yang dilancarkan sebelum PRU-14.

“Akan tetapi, kami kesal bahawa dalam pengumuman pertama menteri-menteri Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, hanya tiga atau 12 peratus daripadanya wanita, iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Wan Azizah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Seai Kie berkata, mengikut Mahathir, kabinet PH akan mempunyai 25 menteri, justeru bagi memastikan PH memenuhi janjinya untuk melantik 30 peratus wanita pembuat dasar, maka sekurang-kurangnya mesti ada tujuh orang menteri wanita.

“Dengan itu, Wanita MCA menggesa kerajaan pusat baharu untuk berpegang teguh kepada janjinya dan komited untuk memperkasakan status politik wanita, ke arah mencapai visi kesaksamaan gender,” ujarnya.- MalaysiaGazette