Home Utama Saya tidak tahu, saya bukan broker saham, kata Guan Eng

Saya tidak tahu, saya bukan broker saham, kata Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan menyorokkan mana-mana perbelanjaan bagi memastikan pentadbiran yang bersih, bertanggung jawab dan telus dapat diamalkan walaupun ia mungkin akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, fokus utama kerajaan sekarang adalah memperkukuhkan kedudukan fiskal negara kerana fundamental ekonomi Malaysia sudah kuat disokong oleh kekukuhan sektor kewangan, perbankan dan kecairan tinggi pasaran saham.

Ini katanya, hanya dapat dilakukan menerusi langkah CAT (clean, accountable, transparent).

“Bagaimana anda boleh katakan ketelusan telah menyebabkan pasaran saham jatuh? Ia mungkin menjadi penyebab (kejatuhan pasaran saham selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan atau mungkin juga tidak).

“Saya tidak tahu kerana saya bukan broker saham tetapi apa yang pasti kejatuhan saham bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di Thailand dan Amerika Syarikat. Biar broker saham dan penganalisis yang membuat pernilaian.

“Tetapi kami akan sentiasa berfikiran terbuka dan menerima kritikan tetapi sekiranya dengan bersikap telus membuatkan kami dihukum, apa lagi yang mampu kami lakukan?” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu mengulangi sistem dan cara pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menyentuh mengenai amanat pertamanya kepada warga Kementerian Kewangan, Guan Eng berkata, beliau memberi fokus kepada lima perkara utama iaitu janji-janji yang telah dibuat kerajaan kepada rakyat, kedudukan fiskal, kebajikan rakyat, kepentingan membersihkan Malaysia daripada sebarang skandal dan menyelamatkan negara ini.

“Kita hendak kerja sebagai sebuah pasukan dan tumpuan utama adalah memastikan kebajikan rakyat lebih terbela dan rakyat lebih sejahtera.

“Kita harap keadaan rakyat pada lima tahun akan datang adalah lebih baik berbanding lima tahun dahulu, itu matlamat kita,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai pembayaran kadar faedah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Guan Eng berkata, kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil tanggung jawab tersebut walaupun tidak gembira melakukannya.

Ini kerana, kerajaan perlu mematuhi peraturan antarabangsa dan menunjukkan Malaysia tidak engkar kepada peraturan antarabangsa meskipun telah bertukar pentabiran.-MalaysiaGazette