Home Nasional Beri pandangan had umur ambil lesen memandu untuk kurangkan kemalangan

Beri pandangan had umur ambil lesen memandu untuk kurangkan kemalangan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media pada sidang akhbar khas Kementerian Pengangkutan di Galeria PJH, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 25 MEI 2018

PUTRAJAYA – Orang ramai dipelawa untuk mengemukakan pandangan berhubung langkah had umur bagi pengeluaran lesen memandu.

Ini kerana pada masa ini angka kematian di atas jalan raya membabitkan pengguna berusia di bawah 25 tahun adalah paling ramai, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 38 peratus kematian melibatkan mereka yang tidak berlesen berusia 16 hingga 20 tahun manakala 18 peratus lagi kematian membabitkan pengguna jalan raya berlesen di bawah umur 25 tahun.

Katanya, angka kematian tersebut merupakan sesuatu yang membimbangkan kerana kebanyakan yang menjadi mangsa adalah golongan muda.

“Saya ingin melontarkan satu topik untuk dibincangkan oleh orang ramai terutama ibu bapa iaitu sama ada had umur untuk memandu (mendapatkan lesen) dikaji semula atau tidak.

“Sekarang ini 16 tahun untuk mendapatkan lesen motosikal. Sesiapa yang umur 16 boleh ambil lesen motosikal, lesen kereta 17 tahun di bawah umur 18 tahun.

“Kita tidak membuat apa-apa keputusan hari ini. Tidak ada dasar dari segi umur tetapi kita nak perbincangankan dan dapatkan maklum balas daripada orang ramai,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Kreselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini hari ini.

Menurut Anthony, orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh menggunakan pelbagai saluran sama ada melalui media sosial seperti Facebook Kementerian Pengangkutan ataupun Facebook miliknya, melalui media, JKJR dan sebagainya.

Mengulas lanjut Anthony berkata, daripada angka kematian itu penunggang motosikal merupakan yang paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 60 peratus.

“Saya harap masyarakat dapat membincangkan perkara ini dan tidak ada tarikh tutup.

“Kita tahu perkara ini memang tidak mudah untuk diputuskan kerana ramai (pengguna jalan raya) di luar bandar memerlukan kerana keperluan terutamanya terhadap anak-anak muda di peringkat sekolah menengah kerana kekurangan pengangkutan awam.

“Tetapi saya harap ia dibincangkan, sama ada perlu ditingkatkan atau tidak,” ujarnya.

Sementara itu, Anthony berkata, pendekatan advokasi oleh JKJR yang diguna pakai pada masa sekarang perlu diubah.

Jelasnya, ia perlu melibatkan sentuhan anak-anak muda yang kebanyakannya menjadi mangsa di atas jalan raya.

“Pendekatannya kita buat program, bagi ceramah di sekolah dan sebagainya.

“Kita tahu anak muda sekarang ini mereka tidak suka dengar taklimat, mereka nak terlibat dan buat program-program mereka.

“Mereka nakkan program yang interaktif. Jadi kita beri peluang untuk ke hadapan dan bagi cadangan kepada mereka. Advokasi itu perlu sampai kepada mereka,” tegas beliau. – MalaysiaGazette