Home Dunia Tentera Rusia tembak MH17- Pendakwaraya

Tentera Rusia tembak MH17- Pendakwaraya

Lokasi kejadian trajedi MH17 trajedi di Ukraine ketika tinjauan di Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Lokasi kejadian trajedi MH17 trajedi di Ukraine ketika tinjauan di Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

AMSTERDAM – Pasukan pendakwaraya Belanda mengesahkan pesawat Malaysia Airlines, MH17 telah ditembak jatuh oleh tentera Rusia pada 2014 yang lalu.

Tragedi yang berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri di timur Ukraine itu telah mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Pesawat yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu telah ditembak oleh peluru berpandu anti pesawat, Buk, buatan Rusia, kata mereka.

“Buk yang digunakan datang daripada pasukan ketenteraan Rusia iaitu Brigade ke- 53.

“Kami tahu apa yang digunakan tetapi kami tidak mengetahui siapa yang mengendalikan Buk berkenaan pada ketika itu,” kata Ketua Pendakwaraya Belanda, Fred Westerbeke kepad Reuters.

Rusia bagaimanapun menafikan penglibatannya dengan insiden tersebut.

“Tiada satu pun pelancar misil tentera udara Rusia melintasi sempadan Rusia-Ukraine,” kata Kementerian Pertahanannya dalam kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Rusia, TASS.

Tambah kementerian itu, penemuan tersebut adalah berdasarkan data-data palsu yang diberikan oleh blogger dan maklumat yang diberikan oleh Moscow berhubung kes tersebut telah diketepikan.

“Ini adalah salah satu contoh tuduhan tanpa asas yang mahu merosakkan naa negara kami di mata masyarakat antarabangsa,” katanya lagi.

Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Khamis berkata, ia “mempunyai keyakinan penuh” terhadap penemuan tersebut dan meminta Rusia mengakui penglibatan mereka.

“Sudah tiba masanya Rusia menamatkan pembohongan mereka dan bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut,” kata jurucakapnya, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

Para penyiasat menyeru orang awam untuk tampil dan membantu mengenal pasti kru-kru yang mengendalikan misil berkenaan.

“Persekutuan Rusia tidak membantu kami dalam menyediakan maklumat yang kami bawa hari ini.

“Mereka tidak memberikan maklumat ini walaupun Buk berkenaan adalah milik pasukan ketenteraan mereka,” kata Westerbeke.

Para pendakwaraya menunjukkan gambar-gambar dan video sebuah konvoi trak membawa sistem-sistem dari Rusia melintasi sempadan Ukraine.

Ia melintasi semula sempadan berkenaan beberapa hari kemudian tetapi sebuah peluru berpandu telah hilang.

Kenderaaan-kenderaan tersebut mempunyai nombor siri dan tanda unik yang menunjukkan ia milik Brigade ke-53, sebuah unit anti pesawat yang berpangkalan di barat Rusia, Kursk.

Dalam laporan interim terkini siasatan tersebut, pendakwaraya berkata, mereka telah mengecilkan senarai suspek daripada lebih 100 kepada beberapa belas orang.

Menurut Westerbeke, para penyiasat masih belum bersedia untuk mendedahkan suspek kepada umum atau mengeluarkan pendakwaan.

Bagaimanapun mereka mengharapkan kerjasama daripada individu-individu berkenaan ataupun maklum balas daripada firma politik antarabangsa. – Agensi