Home Nasional Kaunter SPAD dibuka seperti biasa

Kaunter SPAD dibuka seperti biasa

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua kiri) bercakap kepada media pada sidang media khas Kementerian Pengangkutan di Galeria PJH, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 25 MEI 2018

PUTRAJAYA – Kaunter-kaunter Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu beroperasi seperti biasa meskipun badan itu telah dibubarkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, arahan juga telah dikeluarkan kepada Suruhanjaya berkenaan agar mereka menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa.

Ia termasuk memproses permohonan lesen yang dihantar oleh orang ramai.

“Saya minta semua operasi SPAD diteruskan kerana apabila diumumkan suruhanjaya ini dibubarkan, ia bukan bermaksud hari ini umum (bubar), hari ini terus tutup pejabat.

“Pejabat dan operasi SPAD ini masih berjalan kerana kita ada Akta SPAD, kakitangan bertugas seperti biasa dan sebarang permohonan daripada orang awam perlu diterima oleh SPAD,” katanya.

Anthony berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lalu mengumumkan pembubaran empat badan dan agensi kerajaan sebagai langkah untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Selain SPAD, tiga lagi badan tersebut termasuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, Anthony berkata, kira-kira 800 kakitangan bertaraf tetap di SPAD akan diserap ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan terdapat 1,000 kekosongan perjawatan di jabatan itu pada masa ini.

Katanya, tiada sebab kakitangan SPAD perlu bimbang akan kehilangan pekerjaan atau risiko diberhentikan susulan pembubaran badan itu sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Sementara itu, Anthony berkata, pihaknya akan mengadakan program bersepadu sempena musim perayaan dengan beberapa agensi penguatkuasa pada 7 Jun ini. – MalaysiaGazette