KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Shamsudin tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO dan bersedia menyerahkan baton kepimpinan kepada ahli-ahli Puteri yang bertanding kelak.
Beliau juga tidak akan bertanding mana-mana jawatan lain di semua peringkat bagi memberi ruang kepada barisan kepimpinan yang dipilih kelak untuk melakukan perubahan dalam parti secara menyeluruh.
“Saya juga akan tamat tempoh memimpin Pergerakan Puteri UMNO Malaysia untuk diserahkan baton kepimpinan kepada Pemimpin Puteri yang Lain.
“Saya mengambil keputusan untuk TIDAK bertanding apa-apa jawatan parti di semua peringkat bagi memberi ruang kepada pemimpin lain untuk memimpin UMNO ke arah perubahan total.
“Dengan ini juga Saya juga berharap ramai pimpinan UMNO lama akan beri ruang pada muka baru untuk memimpin Parti dan sayap UMNO,” katanya di laman Twitter hariĀ ini.
Menurut Mas Ermieyati, beliau akan menumpukan perhatian untuk berkhidmat di Masjid Tanah di mana pengundi kawasan tersebut telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil di Parlimen.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung 9 Mei lalu, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan memperoleh 22,898 undi. – MalaysiaGazette