EDINBURGH – Dunia bola sepak telah lama menyedari Celtic sebagai sebuah kelab yang pro-Palestin.
Sokongan itu bukan dapat dilihat secara terus menerusi pentadbiran kelab mereka akan tetapi menerusi gelagat penyokong mereka yang jelas memihak Palestin berbanding Israel.
Baru-baru ini, penyokong Celtic sekali lagi menzahirkan sokongan mereka terhadap Palestin dengan melancarkan kempen kutipan dana secara atas talian.
Menggunakan laman Go Fund Me, mereka mensasarkan untuk mendapatkan jumlah dana sebanyak £5,000.
Dana sebanyak £5,000 akan digunakan untuk menyokong segala hal mengenai perubatan untuk merawat rakyat Palestin di Gaza yang mengalami kecederaan oleh disebabkan oleh penindasan tentera Israel.
Hal ini kerana jumlah mangsa keganasan tentera Israel meningkat dengan mendadak dan hospital di sana tidak dapat menampung jumlah mangsa keganasan tersebut yang terlalu ramai.
Semuanya bermula pada 30 Mac lalu apabila rakyat Palestin melancarkan perarakan besar-besaran untuk menuntut hak mereka yang selama ini dinafikan.
Apa yang menarik mengenai kempen ini adalah reaksi yang positif yang diperoleh dari pelbagai pihak terutamanya penyokong Celtic.
Dalam masa dua hari, sasaran £5,000 yang ditetapkan telah berjaya dipenuhi dengan mudah menerusi sumbangan pelbagai pihak!
Kini kutipan dana itu masih lagi berjalan, dan sehingga kini mereka telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak £5,604. – MalaysiaGazette