Home Utama Bayi panda kedua berani dan garang

Bayi panda kedua berani dan garang

Gelagat bayi panda yan g berusia empat bulan ketika gambarnya dirakamkan dari bilik khas di Pusat Konservasi Panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Bayi panda gergasi kedua pasangan Xing Xing dan Liang-Liang menunjukkan perkembangan lebih cepat dan bersifat lebih garang.

Pengarah Zoologi Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli berkata, bayi panda gergasi betina yang belum diberi nama itu, kedengaran mengomel dan mengeluarkan bunyi ketika kakitangan Zoo Negara menimbangnya, baru-baru ini.

“Bayi panda ini agak garang. Ketika kami menimbangnya baru-baru ini dia seperti mengomel perkataan seolah-olah menyebut ‘shela’.

“Kami tidak jelas apa yang dipertuturkan dan maksud sebenar atau kata-kata itu merujuk kepada apa,” katanya ketika ditemui selepas majlis penampilan anak panda gergasi di Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Malah, pada penampilan pertama, anak panda gergasi yang baru berusia empat bulan itu dilihat lebih berani dan mesra menghampiri orang ramai yang mendekatinya serta lensa kamera pengamal media yang dipisahkan dengan cermin kaca.

Bayi panda betina yang masih belum diberikan nama merupakan anak kedua panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan pada Januari lalu. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2018

Bayi panda gergasi betina itu, kini mencatatkan berat sembilan kilogram selepas hanya seberat 150 gram ketika dilahirkan pada 14 Januari lalu.

Dr Mat Naim berkata, sehingga kini anak panda gergasi itu masih menyusu dengan ibunya, Liang Liang yang dijangka sehingga berusia 18 bulan, berdasarkan rekod anak panda sebelum ini, Nuan Nuan.

Namun, dengan perkembangan pantas bayi panda terbaharu ini, beliau tidak terperanjat seandainya ia boleh dipisahkan dengan ibunya lebih awal.

Sehingga kini, bayi panda gergasi itu boleh dilihat menerusi bilik penjagaan sebelum dipamerkan bersama ibu bapanya di ruang pameran, dalam tempoh dua bulan lagi.

“Anak panda hanya mula melakukan aktiviti seperti memanjat dan mencakar antara usia enam dan tujuh bulan.

“Kerana itu i, kami tidak meletakkan struktur tinggi di tempat bayi panda,” kata Dr Mat Naim lagi. -MalaysiaGazette