Home Utama MoF persoal pelaburan 1MDB bernilai lebih RM8.33 bilion

MoF persoal pelaburan 1MDB bernilai lebih RM8.33 bilion

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan (MoF) hari ini membangkitkan lebih banyak persoalan mengenai pelaburan bernilai RM8.33 bilion yang dibuat oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara 2009 dan 2013, dan meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab ke atas beberapa transaksi tersebut.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daripada terus membahaskan sama ada pembayaran 1MDB sebanyak RM6.98 bilion itu sebagai penyelamat oleh MoF, adalah ´lebih produktif´´ jika Najib menjawab beberapa persoalan baharu.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau bertanya tiga soalan:

  • Di manakah sejumlah US$1.83 bilion yang dilaburkan dengan Petrosaudi International Ltd antara tahun 2009 hingga 2011? * Di manakah sebanyak US$3.5 bilion yang dikumpul pada 2012 untuk tujuan memperoleh loji janakuasa di Malaysia? * Di manakah sejumlah US$3 bilion yang dikumpul pada 2013 untuk melabur di Tun Razak Exchange (TRX)?

Mengenai RM6.98 bilion yang dibayar oleh MoF bagi pihak 1MDB, Lim berkata pembayaran dibuat berhubung pinjaman yang tidak berkaitan sama sekali dengan projek hartanahnya 1MDB, termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Ia sebaliknya dibuat untuk membayar faedah kupon tiga terbitan bon – bon 10 tahun bernilai US$3.5 bilion yang diterbitkan pada Mei dan Oktober 2012, bon 30 tahun berjumlah RM5 bilion yang diterbitkan pada 2009, dan bon 10 tahun bernilai US$3 bilion diterbitkan pada Mac 2013 – dan membayar pendahuluan US$1.2 bilion daripada International Petroleum Investment Corp (IPIC) Abu Dhabi.

Bon bernilai US$3.5 bilion bertujuan untuk memperoleh aset loji janakuasa. Walaupun aset tersebut telah dilupuskan dan hasilnya telah digunakan sepenuhnya, bon masih tertunggak.

Bon RM5 bilion digunakan terutama untuk pelaburan 1MDB yang gagal dengan PetroSaudi International.- BERNAMA