Home Ekonomi Harga minyak dunia jatuh

Harga minyak dunia jatuh

SINGAPURA – Harga minyak jatuh pada hari Isnin berikutan tanda-tanda pengeluaran daripada tiga pengeluar minyak mentah utama, Rusia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi, akan dinaikkan berikutan kebimbangan mengenai bekalan ekoran pemintaan kukuh.

Niaga hadapan minyak Brent berada pada AS$ 76.02 setong, susut 0.55 peratus berbanding harga penutup manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$ 67.36 setong, jatuh AS$0.22.

Brent dan WTI, masing-masing susut sebanyak 5.5 peratus dan 7.5 peratus daripada harga kemuncak awal Mei lalu.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petrleum (OPEC) serta Rusia, mula mengawal bekalan pada tahun 2017 untuk mengetatkan pasaran untuk meningkatkan harga, selepas harga minyak jatuh di bawah paras AS$30 setong pada tahun 2016.

Tetapi harga telah melonjak sejak pengurangan bekalan, dengan Brent melepasi AS$80 setong pada awal Mei, mencetuskan kebimbangan pengguna bahawa harga yang tinggi akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mencetuskan inflasi.

Untuk menangani kekurangan penawaran, Arab Saudi dan Rusia sedang membincangkan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak kira-kira 1 juta tong sehari.

“Harga minyak jatuh selepas Arab Saudi dan Rusia bersetuju untu meningkatkan pengeluaran minyak pada separuh tahun kedua,” kata ANZ Bank. – MalaysiaGazette