Home Nasional Barisan Kabinet kerajaan PH lengkap dua minggu lagi – Tun M

Barisan Kabinet kerajaan PH lengkap dua minggu lagi – Tun M

Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Selesai sahaja 10 Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan pada 22 Mei lalu, kini timbul pula tanda tanya, adakah kerajaan baharu itu sudah lengkap untuk mentadbir tanpa ada apa-apa pelantikan timbalan menteri?

Sehingga kini, hampir tiga minggu PH mengambil alih pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional (BN) sejak 10 Mei lalu, belum ada bayangan sampai bila pembentukan kerajaan yang lengkap akan dilakukan.

Namun, menurut sumber, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan mengumumkan senarai penuh Kabinet yang lengkap dengan Timbalan Menteri masing-masing dua minggu dari sekarang, termasuk keputusan sama ada Kementerian Belia dan Sukan dikekalkan atau dimansuhkan.

Pada awal mengambil alih kerajaan Persekutuan, Dr. Mahathir dilaporkan hendak mengecilkan jumlah Menteri Kabinet dari 35 portfolio sedia ada kepada 15 kementerian sahaja termasuk beliau sebagai Perdana Menteri.

Manakala Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, turut diberi portfolio kedua iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pelantikan timbalan menteri pula dijangka bermasalah sedikit kerana ramai dalam kalangan senior dari empat parti komponen PH yang bergabung masing-masing mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan dalam barisan Kabinet itu.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir dikatakan berdepan dengan kesukaran untuk membuat pilihan kerana beliau juga terpaksa mengambil kira muka baru dalam kalangan anak muda untuk diberikan jawatan timbalan menteri.

Sementara itu, dalam temubual Perdana Menteri dengan The Edge Markets, beliau dilaporkan berkata, pemilihan adil untuk keempat parti antara perkara yang dititikberatkan kerana beliau perlu fikir berapa jumlah kementerian yang mereka dapat dan apakah kementerian diperolehi.

“Di Malaysia perlu fikir faktor bangsa dan negeri kelahiran supaya sama rata dan mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan empat parti gabungan ini.

“Hal ini berbeza sewaktu saya menjadi Perdana Menteri pada 1981, apabila ketika itu saya hanya mengisi tempat kosong setiap kementerian kerana semua dalam satu parti UMNO sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau perlu meneliti dan mengambil kira kepentingan semua parti dalam PH dan pada masa sama menjelaskan, keputusan melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan adalah berdasarkan pengalaman dan kejayaannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Sebelum ini, menteri kewangan kita dalam kalangan Melayu, iaitu bekas perdana menteri, namun lihat sahaja bagaimana wang itu disalah gunakan.

“Jadi, tidak timbul soal bangsa kerana lebih penting adalah kualiti, pengetahuan dan seseorang yang faham selok belok kewangan.

“Guan Eng membuktikan kejayaan mengurus kewangan dengan lebih baik walaupun ketika itu Pulau Pinang dikatakan negeri pembangkang yang kurang mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette