Home Politik Segala aset milik MIC akan disiasat – Kulasegaran

Segala aset milik MIC akan disiasat – Kulasegaran

M. Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat status segala aset hak milik masyarakat India yang diuruskan oleh MIC selama ini.

Makkal Osai melaporkan, antaranya termasuk Maika Holdings, Universiti Aimst, dan segala koperasi berkaitan masyarakat India yang dibangunkan menggunakan wang rakyat akan disiasat serta di ambil tindakan seandainya wujud sebarang unsur penyelewengan.

Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran berkata, selama beberapa dekad, semua wang berkaitan masyarakat India bukan sahaja diselanggarakan MIC malah juga pelbagai jenis dana telah dikutip daripada komuniti itu bagi tujuan pembangunan serta naik taraf kehidupan kaum ini.

Namun jelas beliau, tujuan siasatan ini adalah untuk memastikan tiada sebarang salah guna kuasa atau penyewelengan terutama yang telah diamanahkan kepada MIC.

“Sehingga kini, tiada sebarang laporan kewangan atau pengauditan tepat dan telus yang dikemukakan oleh pihak berwajib khususnya yang melibatkan Maika Holding dan MIED. Kesemua ini adalah wang milik rakyat.

“Koperasi perlandangan Koperasi Permodalan Tanah Berhad atau NLFCS yang dibangunkan oleh hasil titik peluh masyarakat India di negara terus menjadi tanda tanya. Kita tidak tahu menahu langsung tentang status atau perkembangan koperasi ini. Ramai tertanya-tanya.

“Idea koperasi yang diasaskan oleh bekas Presiden MIC, Tun Dr. V. T. Sambanthan sehingga hari ini NLFCS boleh dianggap sebagai salah sebuah koperasi bagi tujuan pembelaan masyarakat India khasnya di ladang supaya mampu memiliki aset mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada persidangan khas rakyat mereformasi kuil Batu Caves di Dewan Sivik, Petaling Jaya semalam.

Tambah Kulasegaran, di bawah kelolaan beliau sendiri, pihaknya akan mengambil inisiatif untuk menyiasat segala aset yang bukan sahaja di miliki oleh MIC selama ini tetaji juga yang melibatkan harta.

“Apa sahaja yang menjadi kepentingan hak milik masyarakat India, kita akan siasat statusnya. Semua ini adalah penting, rakyat perlu tahu apakah perkembangan tentang aset-aset ini, kita akan siasat dengan telus,” tegasnya. – MalaysiaGazette