Home Utama Aktiviti pasaran saham masih di paras sihat – CEO KWSP

Aktiviti pasaran saham masih di paras sihat – CEO KWSP

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kejatuhan pasaran saham tempatan ketika ini adalah selari dengan kejatuhan pasaran serantau di samping pengukuhan dolar Amerika syarikat.
Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Aktiviti pasaran saham di Bursa Malaysia berada di paras yang sihat meskipun menyaksikan trend menurun beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kejatuhan pasaran saham tempatan ketika ini adalah selari dengan kejatuhan pasaran serantau di samping pengukuhan dolar Amerika syarikat.

“Aktiviti pasaran tempatan berada di paras yang sihat dan kami tidak risau mengenainya.

“Turun naik pasaran adalah perkara biasa dan disebabkan itu kami sering berpesan kepada orang ramai supaya tidak melihat pasaran dalam jangka masa singkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan ahli-ahli Majlis Penasihat Negara di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai apakah kejatuhan pasaran disebabkan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi Malaysia berikutan bebanan hutang hampir RM1 trilion seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Shahril berpendapat: “Saya rasa ia tiada kaitan. Lihat kepada pasaran secara keseluruhan kita akan dapati saham global di rantau ini juga sedang mengalami penurunan.”

Shahril bersama dua Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhamad Alias (Strategi) dan Datuk Mohamad Nasir Abd. Latif (Pelaburan) memberi taklimat berhubung aktiviti KWSP kepada Majlis Penasihat Negara.

Menurut Shahril, pertemuan tersebut hanya untuk memberikan laporan terkini mengenai aktiviti KWSP dan visi mereka di dalam mencapai matlamat persaraan pencarum.

Isu penghapusan tol tidak dibincangkan pada pertemuan kali ini, jelasnya sambil menambah semua mekanisme berkaitan perkara tersebut diserahkan kepada ahli Majlis Penasihat Negara.

KWSP memegang 49 peratus kepentingan di dalam syarikat konsesi lebuhraya, PLUS Expressway Bhd. manakala 51 peratus lagi dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd.

Selain Shahril, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad; Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; serta Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Majlis Penasihat Negara di Menara Ilham pada hari ini.

Malah Guan Eng juga turut kelihatan meninggalkan Menara Ilham kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Butiran perbincangan tidak diketahui. – MalaysiaGazette