KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim yang baharu mengumumkan menjadi ahli DAP beberapa hari lalu mendakwa orang Melayu berdepan sindrom tidak lagi mahu berfikir secara rasional.
Zaid berkata, disebabkan sindrom itu orang Melayu mudah diperbodohkan dan memberi alasan beliau masuk DAP adalah untuk menyedarkan orang Melayu.
“Sindrom sebahagian orang Melayu tidak lagi mahu berfikir secara rasional inilah yang menyebabkan saya masuk DAP, supaya dapatlah saya memberi penerangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.
“Amatlah rugi bangsa saya jika mereka rela diperbodohkan oleh pemimpin mereka. Dimana maruah mereka?” katanya dalam satu kenyataan di laman berita rasmi DAP.
Beliau berkata, untuk mengatasi penyakit dihadapi orang Melayu tersebut adalah dengan mengajar mereka berfikir secara rasional supaya dapat membezakan antara yang benar dan karut dalam politik negara.
“Sekurang-kurangnya saya cuba untuk mengatasi penyakit yang dialami oleh orang Melayu hari ini. Memberi ruang yang sihat untuk Melayu berfikir secara kritis dan rasional ini menjangkau politik.
“Ia adalah usaha yang positif untuk membolehkan orang Melayu membezakan apa yang benar dan apa yang karut. Hanya dengan keupayaan ini mereka boleh maju di bidang lain,” katanya.
Walaupun dikritik kemasukkannya dalam DAP tidak akan memberi kesan kepada orang Melayu, Zaid mendakwa musuh-musuh politik DAP khususnya Barisan Nasional bimbang dengan langkah yang diambilnya itu.
“Ada beberapa profesor kangkung meramalkan kemasukan saya dalam DAP itu tidak ada kesan langsung kepada orang Melayu. Cara akhbar dan portal BN menyerang saya, menunjukkan kebimbangan mereka.
“Saya tahu hati naluri orang Melayu. Ada yang cuba meremehkan kemasukan saya bahawa saya bukan Melayu biasa, tetapi Melayu liberal. Saya bukan liberal, cuma saya mempunyai minda yang terbuka,” ujarnya.
Zaid meninggalkan Umno pada 2008.
Beliau pernah menyertai PKR pada Jun 2009 tetapi meninggalkan parti itu pada November 2010 atas alasan tidak berpuas hati dengan penipuan dan pembelian undi dalam pemilihan parti yang menyaksikan Datuk Seri Azmin Ali dipilih sebagai timbalan presiden.
Pada tahun yang sama, beliau mengambil-alih Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan menjadi presiden tetapi melepaskan jawatannya pada 2012. – MalaysiaGazette