KUALA LUMPUR – Penularan kempen yang berlegar dalam media sosial meminta derma daripada orang ramai untuk membeli kereta baharu adalah palsu, jelas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Tular dalam media sosial berhubung satu kempen ‘Tabung Kereta Baharu Mat Sabu’ yang dilancarkan oleh seorang individu yang turut memberikan nombor akaun untuk tujuan derma tersebut.
Mohamad dalam akaun Twitternya menafikan wujud kempen tersebut untuk membeli kereta baharu kepadanya.
Terdahulu, tular gambar sebuah kereta Viva di rumah beliau ketika hari pertama pegawai pengiring menjemputnya untuk ke pejabat.
Terdahulu, Mohamad juga menafikan laporan yang tular di media sosial mengatakan beliau enggan menggunakan kemudahan kenderaan rasmi disediakan kementeriannya.
Menurutnya, kemudahan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya sesuai dengan jawatan yang disandang namun menolak kemungkinan menggunakan hak itu lebih daripada sepatutnya.
“Kononnya saya mahu memandu kenderaan Perodua Viva milik anak saya dan tidak mahu menggunakan kenderaan rasmi serta pengiring disediakan kementerian pada hari pertama bekerja.
“Menjadi tular perkara-perkara yang tidak benar mengenai diri saya, dan saya ingin tegaskan ia tidak benar,” katanya. – MalaysiaGazette