NEW YORK – Rusia menghadapi kritikan keras di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana terlibat dalam menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17 pada tahun 2014 dan penglibatan berterusan dalam konflik di timur Ukraine dan Crimea.
Moscow masih menyebarkan teori mustahil berhubung kemalangan itu walaupun Australia dan Belanda mendapati peluru berpandu Rusia telah membedil pesawat yang membawa 298 orang penumpang, yang kebanyakannya warga negara Belanda, kata Menteri Luar Belanda, Stef Blok.
“Tiada negara berhak untuk berdiam diri. Sebaliknya, ia mempunyai kewajipan untuk bekerjasama secara konstruktif, untuk memberi keterangan kepada kebenaran, untuk tidak mengaburkannya. Saya menyeru kepada Persekutuan Rusia untuk mengambil tanggungjawabnya,” kata Blok.
Mengulas komen yang dibuat oleh Presiden Vladimir Putin di St Petersburg minggu lalu, perutusan PBB dari Rusia, Vasily Nebenzya berkata, negaranya hanya boleh mempercayai siasatan sekiranya ia ‘menyertai sepenuhnya’.
Putin menolak tuduhan tentera Rusia bertanggungjawab untuk kemalangan itu, walaupun penemuan pesawat itu ditembak peluru berpandu BUK yang tergolong dalam kelompok peluru berpandu anti-pesawat tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk.
Rusia menyokong pemberontak di timur Ukraine dan menguasai Crimea pada tahun 2014.
“Terdapat pelbagai versi berhubung tragedi ini, tetapi tidak ada dalam pertimbangannya,” kata Putin dalam Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata, negaranya dan Australia akan mengambil tindakan ke atas Rusia kerana melanggar undang-undang antarabangsa, sambil menjangka Moscow “bekerjasama sepenuhnya” dengan siasatan.
Pesawat MH17 ditembak semasa berada di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014.
Ketika itu pesawat malang tersebut dalam penerbangan ke Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette