AMPANG – Nampaknya Datuk Seri Jamal Md. Yunos bukan sahaja tidak dapat meneruskan keterangan isu ‘kehilangan’ sebelum ikat jamin di hospital baru-baru ini.
Malah Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu yang berjanji hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini terus tidak muncul-muncul sampai sudah.
Peguamnya, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, Jamal sepatutnya hadir memberi kerjasama dengan polis tidak berbuat demikian.
“Pada petang ini kami menanti beliau tetapi sehingga jam 3:30 petang saya masih tidak dapat apa-apa maklumat daripada anak guam saya dan tidak dapat arahan seterusnya daripada anak guam saya.
“Sebenarnya proses pembebasan ikat jamin Jamal sebelum ini belum selesai ini adalah salah faham,” katanya kepada wakil media di luar IPD Ampang Jaya setelah hampir sejam menanti Jamal.
Jamal juga menurut Imran gagal dihubungi melalui telefon bimbit.
Katanya lagi, Jamal boleh ditahan pada bila-bila masa sahaja jika gagal memberikan kerjasama dengan segera.
Sehubungan itu Mohd. Imran sebagai peguam Jamal merayu agar anak guamnya hadir memberi keterangan.
“Polis ada kuasa untuk menahannya. Saya secara peribadi bersama rakan-takan peguam yang lain akan terus memberikan nasibat dan kami berharap supaya Datuk Seri Jamal dapat menampilkan diri dengan segera dan memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya semua pihak dapat penjelasan yang sebenar apa yang berlaku pada hari Jumaat yang lepas.
“Kita dapat menyelesaikan segala persoalan dan tohmahan yang sedang viral dalam kalangan netizen dan inilah harapan kami,” tambahnya lagi.
Pada Jumaat yang lalu pihak polis meminta Jamal menyerah diri bagi menyelesaikan urusan yang tergendala.
Beliau kemudiannya dilaporkan menghantar rakaman ke media menjanjikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selepas lebih daripada 34 jam hilang.
Dalam rakaman itu, Jamal menafikan melarikan diri dari hospital semasa keluar ketika prosiding ikat jamin mahkamah, malah menganggap kejadian itu berlaku kerana salah faham.
Jamal mendakwa bergegas meninggalkan kawasan hospital itu pada Jumaat lalu kerana pergi ke Tabung Haji disebabkan anggapannya tempoh tahanan remannya telah berakhir.-MalaysiaGazette