KUALA LUMPUR – UMNO membidas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan yang disifatkan gagal menunaikan janji memansuhkan tol sebaliknya rakyat hanya menerima diskaun 50 peratus selama dua hari sahaja sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Dalam satu kenyataan, UMNO berkata, kerajaan baharu tersebut mungkin sedar janji tersebut tidak realistik dan ia tidak lebih kepada ‘gula-gula’ politik semasa kempen PRU-14.
“Pengumuman hari ini menyerlahkan Kerajaan PH mungkin telah menyedari realiti bahawa penghapusan tol tidak realistik dan sukar dilaksanakan.
“Sekaligus menunjukkan janji manifesto itu hanya sebagai janji atau ‘gula-gula’ politik bagi meraih undi,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Menurut UMNO, amaran sudah pun diberikan oleh agensi penarafan RAM Ratings yang mendakwa langkah tersebut akan memberi implikasi kewangan yang buruk kepada negara.
“Menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion.
“Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat,” katanya lagi.
Bagaimanapun, janji sudah pun dibuat dan UMNO menggesa supaya kerajaan baharu menunaikan janji mereka dan mencari jalan untuk menampung kos yang perlu ditanggung bagi memastikan janji tersebut dilaksana.
“Oleh itu, Kerajaan PH tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi.
“Apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette