Home Nasional “Jamal perlu serah diri jika anak jantan” – Ridzuan

“Jamal perlu serah diri jika anak jantan” – Ridzuan

Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Yunos perlu tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa sekiranya beliau seorang anak jantan.

Perkara itu ditegaskan, Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah apabila menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu sebagai seorang yang bercakap besar tetapi hakikatnya bacul.

“Dulu dia boleh berlagak cakap itu dan ini tetapi kenapa bila dicari pihak berkuasa dia sembunyi.

“Kalau dia seorang anak jantan saya cabar dia serah diri kepada pihak polis,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, sebagai seorang yang mempunyai pengaruh dalam kalangan kenalannya, Jamal seharusnya berani berdepan dengan sebarang tindakan sebagaimana beliau pernah menunjukkan keberaniannya kepada umum sebelum ini.

Jelas beliau, Jamal tidak sewajarnya menghilangkan diri kerana langkah yang dilakukannya itu hanya akan menyebabkan dirinya menjadi bahan cemuhan masyarakat.

“Saya nasihatkan dia tidak perlulah bersembunyi.

“Berpijaklah dibumi yang nyata, tidak perlu menunjukkan kebodohan diri sendiri,” sindirnya.

Polis hari ini sudah menerima waran untuk menangkap Jamal selepas tidak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk memberi keterangan bersabit kehilangannya sebelum ini dari Hospital Ampang Puteri beberapa hari lalu sebelum proses ikat jaminnya selesai.

Namun, semalam beliau muncul dalam rakaman video yang ditularkan kepada wakil-wakil media merayu agar diberi jaminan untuk tidak dilayan seperti ‘penjenayah’.

Jamal yang kelihatan berada di ladang kelapa sawit berdasarkan rakaman video yang berdurasi 7:36 saat itu mendakwa beliau gagal menampilkan diri (semalam) kerana bimbang akan tekanan yang dikenakan pihak berkuasa terhadap dirinya menerusi serbuan pihak polis ke kediamannya baru-baru ini. – MalaysiaGazette