NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) muktamad untuk menggunakan kuasa veto bagi menolak gesaan perlindungan terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Agensi melaporkan, draf Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa siasatan dilakukan ke atas pertempuran di sempadan Gaza Israel yang diserahkan dalam draf resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dua minggu lepas.
Menurut Duta AS ke PBB, Nikki Haley, resoulusi draf yang telah dikemukakan oleh Kuwait dengan mewakili negara-negara Arab itu sebagai pendekatan berat sebelah dan hanya merosakkan usaha berterusan terhadap keamanan Israel dan Palestin.
“Mereka yang membuat keputusan untuk mengundi yang memihak kepada resolusi ini berkemungkinan besar akan kehilangan peluang untuk melakukan sebarang rundingan selepas ini. Draf ini jelas sekali berat sebelah,” katanya di ibu Pejabat PBB semalam.
Beberapa diplomat berkata, draf berkenaan diserahkan oleh Kuwait sebagai mewakili negara-negara Liga Arab yang menggesa satu siasatan bebas dan telus diadakan berhubung keganasan yang berlaku.
Kuwait mengusulkan draf tersebut mendesak perlindungan antarabangsa diberikan kepada penduduk Palestin ketika tunjuk perasaan bertukar ganas di kawasan sempadan Gaza-Israel.
Draf itu turut melahirkan rasa bimbang terhadap situasi terkini di sempadan, selain menegaskan hak penduduk Palestin untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman dan menyuarakan rasa sedih atas kehilangan nyawa yang tidak berdosa.
Resolusi itu juga menyeru pihak berkaitan untuk menghormati hak asasi manusia komuniti antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk perlindungan ke atas orang awam
Sekurang-kurangnya 122 penduduk Palestin terbunuh akibat ditembak tentera Israel malah lebih 1,400 lagi cedera dengan 758 daripadanya terkena tembakan manakala bakinya cedera akibat ditembak dengan peluru getah serta terhidu gas pemedih mata sejak Mac lepas.- MalaysiaGazette