Home Utama Pelajar sekolah, suri rumah sertai Daesh ditahan

Pelajar sekolah, suri rumah sertai Daesh ditahan

Beberapa suspek ditahan kerana terlibat dengan kegiatan Daesh.- gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menengah yang merancang menyerang gereja, pusat hiburan dan kuil Hindu di sekitar ibu kota ditahan polis.

Remaja yang dipercayai anggota pengganas Daesh itu merancang menyerang lokasi-lokasi berkenaan menggunakan molotov cocktail.

Suspek yang berusia 17 tahun itu ditahan di Petaling Jaya pada 20 April lalu dan telah menghasilkan enam molotov cocktail dan menguji salah satu daripada di kawasan lapang sekitar Damansara Damai.

“Suspek merancang menggunakan molotov cocktail tersebut untuk melancarkan serangan ke gereja, pusat hiburan dan kuil Hindu sekitar Kuala Lumpur.

“Suspek juga telah menjalankan recce dan merakam lokasi sasaran selain merakan video amaran untuk melancarkan serangan dan memuatnaik rakaman itu di beberapa grup WhatApss dan Telegram,” ujarnya Mohamad Fuzi dalam kenyataan yang sama.

Suspek itu ditahan selepas sejam memuatnaik video rakaman tersebut.

Menurut Ketua Polis Negara, remaja berkenaan salah seorang daripada 15 orang suspek yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia sepanjang 27 Mac hingga 9 Mei lalu.

Selain itu, katanya, seorang lagi suspek yang ditahan adalah wanita yang merancang untuk merempuh pengundi bukan Islam semasa PRU-14 lalu.

Wanita yang juga suri rumah berusia 51 tahun itu juga didakwa merancang untuk merempuh rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta yang dipenuhi tong gas sebagai bahan letupan.

Suspek ditahan pada 9 Mei lalu.

Selain itu, pada tangkapan 27 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, polis menahan seorang warga Malaysia yang diusir dari Turki berusia 33 tahun yang pernah bekerja sebagai tukang sapu di pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Suspek dipercayai mahu pergi ke Turki menyertai kumpulan pengganas Daesh.

Pada 2 April lalu, polis juga menahan sepasang suami isteri warga Afrika Utara berusia 22 dan 25 tahun di Gombak kerana mereka disyaki anggota Daesh.

Seorang warga Bangladesh berusia 41 tahun pula ditahan pada 20 April lalu kerana terlibat dalam penyeludupan senjata api bagi kegunaan pengganas antarabangsa.

Suspek itu juga pemilik sebuah restoran di Bukit Bintang.

Tangkapan seterusnya pula melibatkan dua daripada empat individu yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam rancangan menyerang rumah ibadat bukan Islam, menculik dan membunuh anggota polis.

Seorang daripadanya ditahan pada 20 April ketika cuba ke luar negara manakala rakannya pula menyerah diri di Balai Polis Meranti, Pasir Mas di Kelantan pada 23 April lalu.

Sementara itu, tangkapan ke atas tujuh suspek di Sabah pada 24 dan 26 April pula melibatkan seorang warga Malaysia, dua warga Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap dan dua warga Filipina.

Kumpulan berusia 22 hingga 49 tahun itu merancangn mengumpul senjata api di Sabah bagi tujuan berjihad di Marawi City di Filipina.- MalaysiaGazette