Home Ekonomi SST lebih 6 peratus bakal ‘jatuhkan’ jualan emas

SST lebih 6 peratus bakal ‘jatuhkan’ jualan emas

Arkib Seorang pengunjung mencuba barangan kemas berikutan bermulanya 1 Jun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar seperti yang diumumkan kerajaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Habib Jewels, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JUN 2018

AMPANG – Kedai barang kemas terkemuka, Habib Jewels berpendirian pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka bermula September ini bakal memberi kesan kepada perniagaan itu.

Malah menurut Pengarah  Urusan Habib Jewels Sdn. Bhd., Datuk Seri Meer Sadik Habib jualan dan aktiviti pengkesportan emas akan merundum jika SST dimulakan lebih dari enam peratus. 

“Kesan SST ini kalau lebih dari enam peratus misalnya 10 peratus tidak akan baik untuk perniagaan kami.

“Jadi, kalau SST diperkenalkan balik mungkin ada kesan dan juga pengeksportan barang kemas ada kesan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Habib Jewels cawangan Ampang  di sini hari ini. 

Sehubungan itu, Meer Sadik berharap agar kerajaan persekutuan yang baharu dapat mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan SST agar bukan sahaja dapat membantu rakyat dalam menambah kuasa beli tetapi dalam masa yang sama menggalakkan perkembangan industri barangan kemas. 

“Kami berharap kerajaan persekutuan yang baharu bukan sahaja meneruskan langkah baik menerusi inisiatif sifar peratus GST malah mempertimbangkan pelaksanaan  SST untuk galak industri barang kemas terus berkembang,” katanya lagi. 

Untuk rekod, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan kembali dilaksanakan mulai 1 September 2018.

Setakat ini, ia dikhabarkan akan kekal pada kadar 10 peratus iaitu kadar yang sama sebelum ia digantikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.-MalaysiaGazette