Home Ekonomi Belum bincang batal kutipan tol dengan PLUS

Belum bincang batal kutipan tol dengan PLUS

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA- Tiada perbincangan mengenai pembatalan kutipan tol diadakan setakat ini melainkan melibatkan Jajaran Kuala Lumpur- Seremban Expresssway dan Salak Expressway  di Plaza Tol Sungai Besi semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penamatan kutipan tol di jajaran yang dahulunya dikenali sebagai sebahagian daripada Lebuhraya Metramac itu menyebabkan kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya berkenaan, PLUS Highways Bhd.

“Perjanjian menyatakan kutipan tol akan tamat pada 31 Mei 2018 hanya melibatkan kawasan yang kecil dan pengguna pun tidak ramai.

“Bermula sekarang tiada kutipan dikenakan tetapi malangnya kerajaan perlu membayar pampasan untuk kawasan (dua lebuhraya) berkenaan.

“Perkara lain berkaitan PLUS masih belum dibincangkan,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kutipan tol di kawasan-kawasan tersebut dihentikan bermula 12.01 pagi 1 Jun 2018.

Berikutan penamatan tempoh konsesi jajaran tersebut, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan di antara 50 peratus hingga 1 peratus (atau di antara RM 0.40 hingga RM1.70) bergantung pada jarak perjalanan dan kelas kenderaan.

Dalam perkembangan berlainan, Mahathir menafikan keputusan untuk membatalkan projek keretapi laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dibuat sendiri.

Jelasnya,  keputusan tersebut telah diambil sebelum PRU-14 diadakan lagi.

“Ia bukan keputusan saya seorang sebaliknya keputusan semua ahli parti Pakatan Harapan (PH).

“Malah kami berkempen mengenainya (pembatalan projek HSR) maka saya tidak boleh sesuka hati membuat keputusan sendiri,” kata Pengerusi PH itu lagi.

Sidang media itu turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PH yang lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sebelum ini terdapat beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mempertikaikan keputusan yang diambil oleh kerajaan baharu itu untuk membatalkan projek usahasama di antara Malaysia dan Singapura itu.

Menurut Najib, kerajaan baharu perlu membuat pertimbangan sewajarnya dan tidak boleh membiarkan Mahathir membuat keputusan sendiri.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. janji wajib ditepati. rakyat zedia menanti. perkara lain terpulang mebijaksanaan kerajaan.

Comments are closed.