PULAU PINANG – Di sebalik gesaan supaya projek mega di Pulau Pinang dinilai semula dan ditangguh, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan pelaksanaan projek itu akan dipercepatkan.
Projek tersebut termasuk terowong dasar laut, tiga lebuh raya berkembar, pembinaan transit aliran ringan (LRT) serta projek tebatan banjir di Sungai Pinang.
Menurut Kon Yeow, projek tebatan banjir di Sungai Pinang misalnya perlu dipercepatkan selepas tertangguh agak lama sebelum ini.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk menyemak semula projek-projek itu tetapi bukan untuk menangguhkan, sebaliknya dipercepatkan untuk dimanfaatkan penduduk Pulau Pinang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan projek Kolam Air Bukit Dumbar R4 di Kompleks Kolam Air dan Stesen Pam Bukit Dumbar, di sini hari ini.
Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri menyemak semula projek-projek mega di negeri ini dan menangguhkannya selaras dengan langkah penjimatan negara di peringkat Kerajaan Pusat.
Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, projek mega itu termasuk Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM46 bilion.
Kerangka PIP itu melibatkan tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau; projek transit aliran ringan dan tiga lebuh raya berkembar serta pembangunan utama di Persiaran Gurney.
Selain itu, kerajaan negeri sebelum ini turut merancang membina kereta kabel ke Bukit Bendera dengan stesen yang bermula di Taman Botani.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, sebanyak RM140.4 juta diperuntukkan kerajaan negeri kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menjayakan tiga projek kejuruteraan bekalan air di negeri ini sejak tahun lalu.
Tambahnya, projek terbaharu Kolam Air Bukit Dumbar 4 (BDR4) bernilai RM9.3 juta yang dilancarkan hari ini akan membolehkan lebih banyak air terawat dipam khususnya ke kawasan selatan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette