KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan notis mengarahkan kehadiran isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi membantu siasatan berkaitan SRC International.
Mengikut notis berkenaan, Rosmah perlu hadir bagi memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Selasa pukul 11 pagi.
Menurut sumber SPRM, surat berkenaan diserahkan oleh pegawai SPRM yang mengunjungi kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini pada pukul 4 petang tadi.
Beberapa pegawai SPRM kelihatan meninggalkan kediaman Najib dengan membawa sebuah beg yang dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari kediaman berkenaan.
Semua pegawai berkenaan kemudian meninggalkan kediaman itu pada pukul 5.30 petang.
Pada 22 dan 24 Mei lepas, Najib hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International. – Bernama