SINGAPURA – China dituduh sengaja menguatkan struktur ketenteraan mereka dengan menggunakan pelbagai teknologi canggih dan terbaharu di Laut China Selatan bertujuan mengugut serta menakut-nakutkan negara jiran.
Dakwaan itu didedahkan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis pada sidang kemuncak keselamatan berprofil tinggi di Singapura hari ini.
Menurut agensi, Mattis yang merupakan Ketua Pentagon mendakwa China melakukan sedemikian di kawasan yang menjadi pertikaian untuk memastikan pihak berwajib yang sedang menuntut kawasan itu untuk sentiasa gerun dan tidak sesekali bertindak ‘melawan’ mereka.
“Beijing sebenarnya sedang mengatur langkah dengan sengaja memastikan kehebatan ketenteraan mereka lengkap dengan pelbagai ciri-ciri termasuk peluru berpandu anti kapal, peluru berpandu permukaan ke udara serta peluru elektornik. Ciri-ciri ketenteraan maritim mereka sangat hebat.
“Semua ini sengaja dipamerkan kepada pihak lawan bagi memastikan mereka takut dan risau dengan tuntutan yang dibuat oleh mereka.
“Walaupun beberapa kali China tampil menafikan dakwaan ini, namun kita semua tahu, apa tujuan mereka melakukan semua ini selain menyediakan pasukan ketenteraan mereka dengan pelbagai peralatan canggih. Semua ini untuk takutkan segelintir pihak,” katanya ketika berucap pada persidangan itu di Hotel Shangri La.
Sebelum ini, China mengulangi ketegasan berhubung hak negara ini untuk membina kemudahan `pertahanan’ di perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
China juga dikatakan telah membina peluru berpandu baharu di pulau buatan manusia di wilayah perairan tersebut awal tahun ini namun enggan mengesahkan sebarang dakwaan itu.
Perisikan AS juga mendakwa, tentera China telah membina kemudahan pertahanan anti-kapal dan udara di terumbu karang yang turut dituntut oleh Malaysia, Vietnam dan Filipina.
Dalam perkembangan lain Mattis berkata, AS terus menyokong usaha Korea Selatan yang mahu menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea dalam masa terdekat.
“Kerajaan Korea Selatan sudah komited dan berjanji, tidak mungkin boleh menariknya kembali. AS akan terus menyokong usaha untuk menamatkan program nuklear itu,” tegasnya. – Malaysia Gazette