![padang merbok](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2017/02/padang-merbok.jpg)
KUALA LUMPUR – Walaupun hujan lebat hampir setengah jam, ribuan para peserta Himpunan RUU 355 masih bersemangat dan tidak berganjak daripada memberi sokongan untuk mendengar ucapan pemimpin malam ini.
Hujan mula turun sebaik bermula solat Maghrib jam 7.30 malam yang diketuai oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga kuyup basah terkena hujan.
Selepas selesai solat, hujan masih tidak berhenti dan orang ramai bertakbir Allahuakbar sebaik selesai solat.
Majlis kemudiaan disambung dengan tazkirah dan penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom yang menyentuh beberapa perkara membabitkan rang undang-undang yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Jamil juga memuji semangat para peserta yang tidak berganjak da`n tekun menunggu untuk memberikan sokongan dalam himpunan malam ini.
“Malam ini hujan rahmat dan saya memuji kesetiaan tuan dan puan yang hadir malam ini,” kata Jamil Khir.
Hujan berhenti jam 8.30 malam dan program disambung dengan disusuli solat Isyak serta beberapa tazkirah yang akan disampaikan oleh penceramah jemputan. – MalaysiaGazette