Home Utama Tidak relevan kaitkan pelantikan Tommy dengan Chin Peng

Tidak relevan kaitkan pelantikan Tommy dengan Chin Peng

Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang berura-ura mahu melantik Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bukanlah satu perkara yang memudaratkan.

Malah, jika pelantikan itu benar-benar berlaku ia adalah kerana beliau layak untuk menduduki kerusi itu ekoran pengalaman dan ilmunya yang luas dalam bidang perundangan, kata Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Katanya, perkara yang cuba digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak ketika ini ialah pelantikan Peguam Negara yang secara tradisinya dipegang oleh orang Melayu tetapi kini cuba diserah kepada bangsa lain lebih-lebih lagi individu itu didakwa pernah mewakili tokoh komunis iaitu mendiang Chin Peng.

“Kalau Tommy ini seorang Melayu tapi pernah mewakili Chin Peng adakah dia layak untuk dilantik sebagai Peguam Negara?

“Isu beliau pernah jadi peguam Chin Peng dianggap tidak relevan, yang penting dia layak dari segi pengalaman dan ilmu. Itu bukan satu isu yang besar dalam pelantikan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu melantik ‘senior’ Majlis Peguam Negara Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara.

Perkara tersebut telah mendapat bantahan Pemantau Malaysia Baru apabila menyeru Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu membantah perkara itu.

Ketuanya, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, kerajaan PH tidak wajar memilih Tommy yang pernah mewakili tokoh komunis, mendiang Chin Peng.

Menurut Lokman, satu demi satu tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak lagi dapat menolak permintaan DAP yang semakin melampau.

Dalam pada itu Nik Ahmad Kamal berkata, perkara itu wajar diserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan atas nasihat Perdana Menteri.

Ia disebabkan perkara tersebut mempunyai perkaitan dengan satu isu yang sangat kontroversi.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Sementara itu, Presiden Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar melontarkan pandangan mengenai perkara tersebut di laman Facebooknya dengan menulis, pelantikan Peguam Negara perlu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai takhta untuk membuat keputusan ekoran telah bersumpah dengan nama Allah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

“Tak kira orang yang dilantik itu menjadi Peguam Negara, Hakim, Pengerusi SPR dan semua lantikan lain.

“Malah lantikan Peguam Negara umpamanya adalah ‘at the pleasure of Yang Di Pertuan Agong’. Jadi Yang Di Pertuan Agonglah yang paling layak menilai siapa yang berupaya memelihara Islam setiap masa,” ujarnya. – MalaysiaGazette