KUALA LUMPURĀ – Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob hari ini mengesahkan beliau bakal mempertahankan kedudukannya sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Beliau memberi bayangan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu susulan pendiriannya mahu mengekalkan kedudukannya dalam Majlis Tertinggi UMNO.
“Sekarang ini pun saya dalam Majlis Tertinggi UMNO, kalau boleh saya nak kekal di dalam Majlis Tertinggi UMNO itu.
“Majlis Tertinggi itu banyak peringkatnya, ada ahli MT, Naib Presiden dan sebagainya itu pun dipanggil ahli MT
“Jadi saya tidak tahu yang mana satu lagi,” katanya ketika ditemui dalam program Shopping Anak-Anak Yatim bersama Ahli Parlimen Bera di Kompleks Membeli-belah SOGO, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO yang mengumumkan bertanding dalam Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO yang perlu dijalankan selewat-lewatnya 19 April 2019.
Antaranya Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal bertanding jawatan Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula sebagai Naib Presiden.
Manakala jawatan Ketua Pemuda UMNO bakal direbut masing-masing oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Ismail Sabri bagaimanapun berkata, sebarang jawatan yang bakal ditandinginya akan diumumkan dalam masa terdekat kerana Ahli Parlimen Bera itu perlu berbincang dengan kepimpinann Badan Perhubungan UMNO Pahang terlebih dahulu.
“Kita biar dulu, orang lain berebut nak umum, pasal lama lagi sampai 17 Jun 2018, jadi banyak masa lagi
“Saya akan minta pandangan daripada pengerusi Perhubungan Negeri, kita ada peraturan dan sebagainya.
“Ini bukan soal saya semata-mata, kalau saya bertanding saya akan mewakili dan membawa imej UMNO Pahang.
“Jadi lebih baik saya berbincang dengan rakan-rakan dalam Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan baru saya buat pengumuman,” katanya.
Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei 2018 (Sabtu) sehingga 10 Jun (Ahad) 2018.
Manakala mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 (Sabtu) dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. – MalaysiaGazette