KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta semua pihak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan isu berhubung pelantikan Peguam Negara.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, menurut Perkara 145(5), pelantikan Peguam Negara adalah atas perkenan Agong, bukan hanya daripada nasihat Perdana Menteri.
Beliau percaya isu itu tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar dan merendahkan institusi raja berpelembagaan seperti dianuti rakyat Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perkara Kedua dalam Rukun Negara – Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Kita berdiri teguh di belakang Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam melaksanakan obligasi berperlembagaan baginda untuk melantik seorang Peguam Negara.
“Kita memohon pekenan Yang di-Pertuan Agong agar membuat petisyen kepada Mahkamah Persekutuan berdasarkan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan bagi mentafsirkan sama ada maksud nasihat dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tersebut adalah wajib diikuti ataupun dalam budi bicara baginda.
“Hal ini penting bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Peguam Negara yang berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk sebuah portal berita semalam yang melaporkan, kerajaan telah mencadangkan beberapa nama dalam kalangan peguam berpengalaman serta beberapa nama bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk menjadi Peguam Negara.
Zainul Rijal berkata, dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, agong menaiki takhta dengan bersumpah nama Allah antara lain akan memelihara Islam pada setiap masa.
Hal ini, katanya, menjadikan agong mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk memelihara Islam pada setiap masa.
“Oleh itu, baginda hendaklah melantik seorang yang dapat memelihara Islam pada setiap masa, malah lantikan Peguam Negara adalah dalam perkenan baginda.
“Justeru, tidak ada seorang pun boleh memaksa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan sedemikian,” ujarnya. – MalaysiaGazette