KUALA LUMPUR – Syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) yang merupakan pemaju KL Vertical City hari ini menfailkan saman ke atas bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini.
Peguam syarikat, Mohamed Reza Rahim berkata, saman itu dikemukakan ke atas Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berikutan mengeluarkan pernyataan tertentu yang salah di media massa dan sosial mengenai isu pindah tanah milik Felda di Jalan Semarak.
“Kami ingin menegaskan saman ini difailkan ke atas individu iaitu Shahrir dan tidak melibatkan Felda.
“Saman ini berjumlah RM100 juta bagi kos ganti rugi kerana ia merupakan satu projek besar dan Shahrir telah mengeluarkan beberapa salah pernyataan fakta kepada media sejak Disember tahun lalu hingga Mac tahun ini,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Pembangunan Perniagaan, SPSB, Datuk Marina Hashim.
SPSB selaku plaintif menfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan dengan menamakan Shahrir sebagai defendan.
Mohamed Reza berkata, atas kapasiti sebagai bekas Pengerusi Felda, penyataan yang dikeluarkan Shahril itu bagi anggapan pihak SPSB adalah tidak benar.
“Ia merupakan salah nyata fakta yang membawa kepada kecederaan reputasi yang besar kepada anak guaman.
“SPSB juga menuntut permohonan maaf Shahrir di lima akhbar nasional pilihan plaintif dalam tempoh tujuh hari selain Shahrir memberi aku janji bertulis untuk tidak mengulangi pernyataan,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, Felda berjaya memiliki kembali 16 lot tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur setelah menandatangani memorandum persefahaman dengan SPSB sebagai pemaju Kuala Lumpur Vertical City.
Shahrir yang ketika itu Pengerusi Felda menjelaskan, memorandum itu ditandatangani pada 15 Januari lalu dan telah melantik sebuah jawatankuasa khas rundingan untuk membuat penambahbaikan dalam projek tersebut.
Kontroversi membabitkan tanah Felda bermula pada hujung tahun lalu tercetus apabila media mendedahkan agensi tersebut dikatakan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan projek dikawasan tersebut. – MalaysiaGazette