Home Ekonomi Harga minyak merosot

Harga minyak merosot

SINGAPURA – Niaga hadapan minyak mentah Brent merosot untuk sesi kedua dalam dagangan jari ini dengan harga di bawah tekanan daripada pengeluaran Amerika Syarikat dan jangkaan bekalan OPEC yang lebih tinggi.

Penanda aras global Brent turun 0.16% kepada AS$76.67 setong.

“Minyak mentah kekal di bawah tekanan kerana pasaran terus memberi tumpuan kepada perbincangan antara ahli OPEC mengenai sama ada mereka perlu meningkatkan pengeluaran pada akhir tahun ini.

“Di Amerika Syarikat, data juga menunjukkan gambaran suram, pengeluaran minyak mentah naik ke rekod lain, sementara aktiviti penggerudian meningkat lagi,” kata ANZ dalam nota penyelidikannya.

Tetapi US West Texas Intermediate (WTI) niaga hadapan mentah naik AS$0.06 sen, atau 0.09 peratus kepada AS$65.87 setong.

Minggu lalu, pasaran kehilangan kira-kira 3 peratus, menambah penurunan hampir 5.0 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Kita akan berada dalam musim panas, musim permintaan yang tinggi dan kita akan melihat kejatuhan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat tetapi output minyak syal sedang berkembang,” kata Tony Nunan, pengurus risiko minyak di Mitsubishi Corp di Tokyo.

Arab Saudi telah berbincang dengan Rusia untuk meningkatkan pengeluaran bagi mengimbangi kerugian bekalan dari Venezuela dan menangani kebimbangan mengenai kesan sekatan Amerika Syarikat ke atas Iran.

Rosneft pengeluar minyak Rusia yang terbesar akan dapat mengembalikan 70,000 tong sehari dalam masa dua hari jika had pengeluaran global ditarik semula, kata Renaissance Capital dalam nota penyelidikannya.

Pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat meningkat pada bulan Mac kepada 10.47 juta tong sehari, mengikut rekod bulanan, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga. – MalaysiaGazette