KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pertemuannya dengan beberapa sultan baru-baru ini dan terbaharu dengan Sultan Perak semalam sebagai mempunyai agenda tertentu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Umum PKR itu memberitahu, tidak ada yang perlu disembunyikan kerana setiap pertemuan itu beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sebelum saya dititah menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, saya maklumkan pada Dr. Mahathir. Semalam, mengenai pertemuan saya dengan Sultan Perak, Raja Nazrin Shah pun saya lapor pada Dr Mahathir.
“Semua ini saya lapor kepada Dr Mahathir kerana dia Perdana Menteri dan supaya dia tahu. Yang lain nak sibuk tu apa pasal?
“Lainlah kalau ada satu pakatan, (iaitu) UMNO dan Pas sudah pakat dengan Anwar, (maka) kita gunakan raja-raja… Ini, fikiran cabuk macam ini (fitnah) tidak akan membantu sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Terus Terang Khas bersama Anwar Ibrahim anjuran Invoke Malaysia yang disiar secara langsung menerusi Facebook Rafizi Ramli hari ini.
Anwar berkata, dalam pertemuan dengan sultan itu, beliau menjelaskan kepada baginda mengenai keadaan semasa dan apa yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan Persekutuan.
Menjawab soalan adakah beliau bersetuju dengan apa yang dilakukan Dr Mahathir sepanjang tiga minggu ini, katanya, tentulah beliau mempunyai pandangan sendiri.
“Tentulah saya ada pandangan sendiri. Ada hal yang saya tidak setuju, ada hal yang saya sampaikan sendiri kepada Dr Mahathir.
“Ada hal yang saya sebutkan dalam mesyuarat dan ada sekali saya hadir mesyuarat Majlis Presiden, ada menteri yang saya tegur supaya sebelum buat kenyataan difikirkan dahulu, dengar laporan dari pegawai-pegawai.
“Itu yang saya lakukan. Tidak ada langsung timbul keadaan sebaliknya. Saya fikir ini isu yang dimainkan pihak sebelah sana,” katanya.
Mengenai peralihan kuasa, Anwar memberitahu, Dr Mahathir baharu tiga minggu mengurus pentadbiran negara, berikanlah Pengerusi PH itu meneruskannya.
Katanya, dalam semua perjumpaan kepimpinan, beliau tidak pernah menyentuh soal masa peralihan kuasa, kerana tidak mahu dianggap gelojoh. – MalaysiaGazette