KUALA LUMPUR – Perlunya pembaharuan dalam pengendalian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) membuatkan wartawan Utusan Malaysia, Ramli Abdul Karim menawarkan diri sebagai Pengerusi Tetap PAU pada pemilihan parti itu akan datang.
Pengarang Berita Utusan Malaysia itu mengesahkan telah melakukan pendaftaran secara talian hari ini.
Beliau juga merupakan Bekas Presiden Persatuan Halak Mandailing Malaysia dan kini merupakan
Setiausaha Agung Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia.
Ramli juga ahli UMNO Cawangan Kampung Kerangai dalam Bahagian Jelebu, Negeri Sembilan.
Menurut beliau, PAU adalah instutusi tertinggi dalam parti yang seharusnya meninggalkan kesan dan impak besar kepada para perwakilan apabila selesai bersidang termasuk soal menghayati dan melaksanakan semua usul-usul yang dibentang dan diluluskan.
“PAU setiap tahun tidak boleh lagi sekadar menjadi tempat berseronok dan peluang bercuti panjang hujung minggu, tidur di hotel dan dapat makan yang enak-enak sepanjang tempoh bersidang.
“Sebaliknya, Perhimpunan Agung UMNO perlu menjadi institusi yang dihormati semua peringkat kepimpinan dan ahli. Apabila pulang ke rumah masing-masing iaitu selesai bersidang, ia bukan sekadar berkongsi cerita keseronokan jumpa kawan-kawan dan dapat selfie dengan pemimpin besar UMNO,” katanya kepada Malaysia Gazette malam ini.
Menurutnya, ia harus diterjemahkan lebih luas dan lebih bermakna.
“Kita sering mendengar bahawa setiap kali perhimpunan, idea-idea yang dibangkit dan usulkan sekadar recycle atau kita kitar semula, inilah yang kita tak mahu. Kita tidak mahu perhimpunan sekadar menayang semula cerita-cerita sama yang dilaungkan berkobar-kobar setiap tahun, tapi apabila selesai ia sekadar ditinggalkan di PWTC, semangat itu tidak dibawa balik bersama diresapi jiwa setiap pemimpin, perwakilan dan ahli.
“Jika diberi peluang dan mendapat mandat, inilah yang saya cuba ubah. Prasyaratnya, pemimpin semua peringkat dan ahli-ahli UMNO juga sanggup berubah,” kata Ramli lagi.
Menurutnya, kalau semua tiga juta ahli UMNO terutama kepimpinan atasan berubah, PRU-15 nanti UMNO/BN pasti kembali diterima oleh rakyat.- MalaysiaGazette