KUALA LUMPUR – Kontroversi pelantikan Menteri Besar Perlis akhirnya selesai apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri itu sepakat menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Azlan Man.
Azlan yang mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 24 Mei lalu, antara ADUN BN yang mendapat perkenan baginda.
Bagaimanapun, sembilan ADUN lagi yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak bersetuju dengan pelantikan itu dan memboikot majlis angkat sumpah.
Difahamkan Perhubungan UMNO Perlis mahu ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik Shahidan, menjadi menteri besar.
Berikutan itu, baginda murka dengan tindakan ADUN berkenaan dan bertitah punca kelewatan Perlis mempunyai menteri besar kerana ada pihak tertentu cuba mengganggu.
Menurut ADUN Chuping, Azmaiza Ahmad, mereka telah mencapai kata putus dan sebulat suara untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku dan mereka mahu memberi tumpuan menjaga kebajikan rakyat yang memilih BN untuk terus mentadbir negeri itu, walaupun Putrajaya telah ditawan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Ketika kami sembilan ADUN diterima menghadap baginda semalam, kemelut ini sudah pun selesai dan persiapan ke arah melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diselesaikan segera,” katanya.
Azlan turut mengulas ringkas isu itu dengan berkata, semuanya positif. – MalaysiaGazette