Home Nasional Peguam Negara satu tanggungjawab yang hebat, kata Tommy

Peguam Negara satu tanggungjawab yang hebat, kata Tommy

Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Peguam kanan Tommy Thomas berkata beliau merasa terharu terhadap pelantikannya sebagai Peguam Negara yang baharu dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu ‘tanggungjawab yang hebat.’

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat firma undang-undangnya di Jalan Ara, Bangsar, di sini, hari ini, Thomas mengesahkan bahawa beliau telah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama beberapa minit pagi ini dan akan bertemu dengan PM semula, esok.

Beliau tersenyum lebar ketika menerima ucapan tahniah atas pelantikannya.

“Terima kasih banyak tetapi lebih elok saya tidak memberi komen sehingga mendapat surat rasmi yang saya rasa akan menyusul sehari dua lagi.

“Jadi saya rasa masih terlalu awal untuk saya memberikan komen, terima kasih kerana menunjukkan minat,” kata peguam terkemuka itu kepada wartawan yang menunggu di pejabatnya sejak pagi.

Peguam berusia 66 tahun itu akan mengambil alih daripada Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang sedang bercuti sebulan.-BERNAMA