KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan menghantar borang untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti 30 Jun ini.
Manakala jawatan Naib Presiden pula menyaksikan enam pemimpin UMNO telah mengesahkan bertanding.
Mereka ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pula, lima pemimpin muda turut menyatakan kesediaan mereka merebut jawatan itu.
Mereka ialah Khairul Azwan Harun, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Syed Rosli Jamalullail.
Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan masih dalam senarai calon tunggal yang menawarkan diri mengambil alih kerusi dari ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang menyatakan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.
Bagaimanapun, belum ada pencalonan diterima bagi jawatan utama dalam barisan kepimpinan Pergerakan Wanita, walaupun ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak akan bertanding mempertahankan jawatan nombor satu sayap parti itu.
Sungguhpun begitu, mana-mana pemimpin UMNO yang merasa layak untuk bertanding jawatan yang dibuka untuk dipertandingkan itu masih mempunyai masa kira-kira dua minggu lagi untuk mereka mengisi borang pencalonan yang dibuat melalui atas talian.
Tumpuan kini teralih arah kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden kerana beliau satu-satu pemimpin yang dikatakan layak untuk menerajui dan membawa perubahan baharu kepada parti itu.
Namun, belum ada sebarang reaksi daripada Ahli Parlimen Gua Musang itu sama ada bersedia menyahut permintaan ahli supaya bertanding merebut jawatan nombor satu parti atau sebaliknya.
Beliau masih mengambil sikap berdiam diri dan membuat kenyataan dengan lebih teliti kepada media setiap kali diajukan soalan itu oleh wartawan.
Permohonan bagi perebutan semua jawatan itu dibuka bermula 1 Jun lalu dan akan ditutup pada 23 Jun ini. – MalaysiaGazette