PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu beberapa maklumat yang tepat sebelum boleh menahan dan mendakwa Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi sebelum bertindak selanjutnya.
Menurutnya, isu 1MDB merupakan antara penyebab beliau dibuang daripada kerajaan terdahulu.
“Masih hangat dan panas isu ini sehingga saya ditanya, kenapa tan sri belum tangkap Jho Low.
“Saya jawab, kita sedang menunggu maklumat tepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, pagi ini.
Muhyiddin berkata, beliau juga tidak mahu mendahului undang-undang dalam melakukan tindakan.
“Namun kita kena segerakan membantu pelbagai pihak termasuk pasukan tindakan khas yang ditubuhkan kerajaan di bawah KDN.
“Kita harus bekerjasama sepenuhnya dan kita perlu bertindak ke atas pihak terbabit tanpa mengira bulu dan warna,” katanya. – MalaysiaGazette