Home Dunia Trump anjurkan iftar di White House

Trump anjurkan iftar di White House

Iftar
Presiden Donald Trump menganjurkan majlis berbuka puasa di White House, Washington.- Agensi

WASHINGTON- Presiden Donal Trump mengucapkan Ramadan Mubarak kepada semua umat Islam di seluruh dunia ketika menganjurkan majlis berbuka puasa di White House.

Ini merupakan majlis berbuka puasa pertama yang dianjurkan beliau.

Ketika berucap di majlis tersebut, Trump menyampaikan amanat perpaduan di samping mengiktiraf masyarakat Islam di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.

“Dalam pertemuan seperti malam ini, kami menghargai tradisi hebat salah satu agama terbaik di dunia,” katanya kepada para tetamu yang terdiri daripada ahli-ahli kabinet, duta negara-negara yang mempunyai majoriti rakyat beragama Islam termasuk dari Arab Saudi, Kuwait, Jordan dan Emiriyah Arab Bersatu.

Beliau menekankan pembaharuan dalam hubungan persahabatan dan kerjasama dengan “rakan-rakan kongsi berharga” dari Asia Barat dengan mengatakan iftar tersebut menjadi penanda kepada kebersamaan ahli keluarga dan sahabat handai di dalam meraikan keamanan, kecerahan dan kasih sayang.

Trump turut mengimbas kembali lawatan pertama beliau ke Arab Saudi tahun lepas sebagai dua hari yang terbaik di dalam hidupnya.

“Kita hanya mampu mencapai masa depan yang lebih baik dari segi keselamatan dan kemakmuran apabila bekerja bersama-sama,” katanya.-MalaysiaGazette