Home Nasional RM2.6 bilion diterima Najib kini tertakluk pemeriksaan lanjut – LHDN

RM2.6 bilion diterima Najib kini tertakluk pemeriksaan lanjut – LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata RM2.6 bilion yang diterima bekas perdana menteri Najib Razak kini tertakluk pemeriksaan lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Sabin Samitah berkata susulan pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull dan siasatan sedang dijalankan berhubung semua isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kedudukan cukai bagi RM2.6 bilion yang diputuskan pada 16 Februari 2016 kini tertakluk untuk pemeriksaan lanjut.

Pada 16 Februari 2016, berdasarkan pada dapatan dibuat oleh agensi itu yang ditugaskan untuk menyiasat RM2.6 bilion itu, amaun yang diterima itu didapati adalah bayaran derma dan bersifat sukarela dan dengan itu bukan bercirikan pendapatan, katanya.

Oleh itu, katanya mengikut prinsip am percukaian berhubung pembayaran secara sukarela seumpama itu, ia bukan pendapatan yang tertakluk untuk dicukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pembayaran secara sukarela mungkin berubah cirinya dan tertakluk dicukai jika ia diberikan secara berulang kali, sebagai pertimbangan bagi perkhidmatan diberikan, sebagai balasan bagi sebarang faedah dalam apa-apa bentuk atau amaun digunakan dalam kegiatan perniagaan bagi membolehkan operasi perniagaan diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan perkembangan terbaru berhubung RM2.6 bilion diterima bekas perdana menteri, serta wang tunai dan barangan berharga lain yang dirampas dari kediamannya dan premis lain baru-baru ini.

Sabin berkata dalam proses menentukan punca sebenar pembayaran itu, LHDN akan bekerjasama rapat dengan semua agensi dan pasukan petugas khas yang baru dibentuk yang terlibat dalam penyiasatan berkaitan 1MDB.

Berhubung rampasan wang tunai dan barangan berharga lain, Sabin berkata satu notis di bawah Seksyen 78 dan 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah LHDN kepada individu-individu yang ada kaitan dengan barang yang dirampas itu.

Beliau berkata notis itu bertujuan memastikan sama ada pendedahan secukupnya tentang pendapatan itu yang telah dibuat kepada LHDN adalah sepadan dengan pemilikan aset (wang tunai dan barangan berharga) oleh individu tertentu.

“Dalam keadaan kekayaan itu tidak dapat dijelaskan, cukai tambahan akan dikenakan bersama-sama dengan penalti maksimum iaitu amaun berganda bagi terkurang cukai. Kegagalan seseorang untuk mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya. – MalaysiaGazette